Thursday, March 10, 2022

SUKE TV Bekerjasama Dengan MRANTI Nexus Demi Memacu Industri Perniagaan Tempatan

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semua....


Rangkaian siaran tempatan SUKE TV terus mengorak langkah untuk memperkasakan bidang perniagaan tempatan dengan pencetusan memorandum perjanjian bersama MRANTI Nexus dalam sebuah majlis hari ini. MRANTI Nexus merupakan sebuah entiti penyelidikan dan pembuatan kontrak dalam kumpulan syarikat Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pengasas dan Pengerusi SUKE TV Dato' AC Mizal; Pengasas dan Pengarah SUKE TV, Datin Emylia Rosnaida; Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar, Ketua MRANTI Nexus, Muhamad Husni Md Zain, serta barisan pengurusan kedua-dua belah pihak.

Kerjasama ini akan menyaksikan kedua-dua pihak berganding bahu dan bekerjasama menyokong usahawan tempatan untuk mempercepatkan kemasukan inovasi mereka ke pasaran.

Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa menyokong kualiti produk buatan Malaysia dan kebolehan usahawan tempatan, SUKE TV mengambil initsiatif mencipta sebuah platform agar peniaga tempatan dapat mempelopori inovasi dan memperkasakan ekonomi. Inisiatif ini akan meningkatkan kesedaran jenama tempatan dan membantu mengekalkan pelanggan melalui kepelbagaian yang ditawarkan oleh rangkaian ini.

Idea unik SUKE TV untuk membawa pengalaman membeli-belah terus ke rumah pelanggan melalui saluran hiburan televisyen diyakini akan menyumbang kepada peningkatan penglibatan penonton, jualan dan pemasaran produk-produk buatan Malaysia. Melalui visi dan usaha SUKE TV ini, peniaga tempatan kini memiliki akses yang lebih mudah, senang dan berpatutan untuk pengiklanan dan pemasaran produk-produk mereka di televisyen mahupun digital.

Pengasas dan Pengerusi SUKE TV, Dato' AC Mizal menzahirkan rasa gembira mengenai kerjasama antara kedua-dua belah pihak dan ini juga merupakan suatu permulaan untuk pertumbuhan ekonomi yang eksponen, terutamanya untuk perniagaan tempatan. 


“Dengan kehadiran MRANTI Nexus, tiada halangan untuk merealisasikan pencapaian visi kami untuk terus mengukuhkan idea usahawan tempatan, bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga di mata dunia. MRANTI Nexus merupakan perintis industri yang memiliki kepakaran dan kemudahan, dan kami berasa amat bangga dengan kerjasama yang termeterai hari ini”, tambahnya.

MRANTI Nexus menawarkan rangkaian lengkap perkhidmatan makmal, perkhidmatan kawal selia dan pendaftaran produk, perekaan dan pembangunan produk, pembungkusan produk, peralatan pengeluaran gred tinggi serta perkhidmatan OEM produk teknologi bio dan herba.

Muhamad Husni Md Zain, Ketua MRANTI Nexus, menzahirkan keyakinan beliau terhadap peluang kerjasama MRANTI Nexus dengan sebuah organisasi yang inovatif seperti SUKE TV untuk penambahbaikan sektor perniagaan tempatan. 


“MRANTI berpandukan kepada pertukaran “Idea ke Impak” melalui penyediaan sokongan dan kerjasama erat dalam membantu penyelidik dan usahawan membangunkan produk dan solusi mereka lebih segera ke pasaran, serta menjadikan ianya lebih tersedia, mampu milik dan senang diakses pelanggan. Kami percaya lebih ramai inovator dan usahawan tempatan akan mendapat manfaat daripada platform SUKE TV untuk menjangkau pasaran yang lebih luas melalui kerjasama ini,” kata beliau.

SUKE TV, yang akan dilancarkan secara rasmi tahun ini, telahpun berjaya merangkul anugerah pertamanya melalui penamaan Dato' AC Mizal antara 100 Top Young CEO 2021 Lifetime Achievement Icon dalam industri hiburan dan perniagaan.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.suketv.com/

No comments: